Saturday, 10 December 2016

KESANTUNAN BAHASA









PENGENALAN
Kata santun menurut Kamus Dewan ialah halus budi bahasa atau pekerti, beradab, bersopan. Oleh itu, kata kesantunan berkaitan dengan sifat kehalusan budi bahasa atau budi pekerti dan kesopanan.
Kesantunan bahasa secara umum bermaksud penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun.

DEFINISI KESANTUNAN BAHASA
"Kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Bahasa yang digunakan penuh dengan adab tertib, sopan santun dan mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi.”.

  PUNCA-PUNCA KESANTUNAN BERBAHASA SEMAKIN LUNTUR

Remaja memainkan peranan yang penting dalam memacu negara pada masa akan datang. Jika mahu melihat corak masa akan hadapan negara lihatlah pilihan warna remaja pada masa kini. Begiutlah analogi yang menggambarkan jika remaja hari ini bersikap pincang, maka keadaan negara pada masa akan datang masih belum terjamin,begitulah sebaliknya. Tidak dinafikan semkain kurang santunnya dalam berbahasa. Penggunaan bahasa-bahasa yang kesat dalam  perbualan seharian. Terdapat bebrapa faktor yang menyumbang kepada lunturnyakesantunan bahasa dalam kalangan masyarakat ini.

1. Pengaruh media massa:

Pengaruh media massa yang tidak dapat lagi dibendung, yang secara tidak langsung mempengaruhi minda mereka.Perkembangan media elektronik semakin maju dan mampu menghasilkan pengiklanan yang menarik . Kemajuan elektronik yang sedang dicapai ini telah dicemari dengan bahasa-bahasa yang kurang menyenangkan. Budaya luar yang berleluasa pada masa kini mudah diikuti oleh anak-anak.Hal ini demikian memberi pengaruh yang kurang baik kepada anak-anak kerana budaya luar tidak mementingkan budaya budi bahasa. Sebagai contoh yang boleh dilihat, remaja terpengaruh dengan budaya luar seperti "punk", "gothik", dan sebagainya.

2. Pengaruh rakan sebaya serta persekitaran

Biasanya remaja yang cepat pengaruh dengan rakan sebaya mereka. Hal ini demikian kerana pada peringkat remaja,rata-rata tidak mahu hidup dalam keadaan terkongkong dan sentiasa mempunyai keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Remaja seperti ini biasanya mengeluarkan bahasa-bahasa yang tidak sopan apabila mereka bertemu atau melepak.


3. Kurang didikan daripada ibu bapa

Kedua ibu bapa kurang memainkan peranan mereka sebaik mungkin dalam mendidik anak-anak mengenai budi bahasa. Ibu bapa perlulah menerapkan budi pekerti yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya menyebabkan anak-anak kurang bertutur dengan sopan santun dan tidak menekankan aspek budi bahasa dalam diri anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa terlalu mengharapkan guru atau pendidik di sekolah untuk mendidik anak-anak

4.Remaja atau masyarakat yang kurang ilmu pengetahuan

Para remaja menganggap bahawa berbudi bahasa tidak penting kerana mereka menganggap ia kolot dan memalukan . Ada sesetengah individu juga berasa bangga  dengan status (anak orang berada) . Oleh itu , mereka lebih bangga dengan budaya luar berbanding budaya sendiri . Di samping itu , individu tersebut juga mendapat kurang didikan agama daripada kedua ibu bapa nya yang menyebabkan mereka bercakap dengan bahasa yang kurang sopan.



 ISU BAHASA ROJAK
Bahasa Rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, hal ini sekaligus membimbangkan orang dewasa tetang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Kerajaan Malaysia memutuskan hendak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutama di sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan Bahasa Rojak. Sebagai contoh, TV 3telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh oleh sebab kebimbangan orang ramai.
Majalah komiksering disalahkan lantaran menjadi punca Bahasa Rojak dan isu ini sering diperdebatkan. Perkataan atau frasa yang ditulis dalam Bahasa Rojak sering ditekstebalkan untuk memungkinkan pembaca mengenal pasti perkataan-perkataan mahupun frasa-frasa ini (seperti dalam majalahUjangdan Apo?). Secara khususnya, menjelang akhir tahun 2003, majalah Gempakdan Krekomenggunakan bahasa yang lebih formal dan meminimakan penggunaan Bahasa Rojak.      

ISU KHIDMAT PESANAN RINGKAS (SMS)
Isu ini banyak diperkatakan dalam masyarakat hari ini. Penggunaan bahasa dalam kalangan  remaja masa kini menimbulkan keresahan banyak pihak. Baik dalam bentuk lisan (percakapan) mahupun tulisan terutamanya dalam khidmat pesanan ringkasan (SMS), e-mel dan di laman-laman sosial, para remaja menggunakan bahasa atau istilah-istilah yang kurang sopan, apatah lagi dari segi hukum tatabahasa bahasa Melayu, mereka langsung tidak mempedulikannya.

Di samping itu, bahasa  dalam khidmat pesanan ringkas dan dalam laman-laman sosial juga mempengaruhi mereka. Perkataan dieja berdasarkan apa yang didengari mereka. Banyak perkataan telah dirosakkan seperti apa menjadi ape, telefon menjaditalipon, ambil menjadi ambik dan banyak lagi. Lagi menyedihkan apabila ejaan sesuatu perkataan itu diubah dan ditambah oleh mereka menjadi perkataan yang sukar difahami. Kebanyakan perkataan ini hanya difahami oleh mereka sahaja. Sebagai contoh ,perkataan axu yang membawa maksud aku, awuxbermaksud awak, dea iaitu dia dan sebagainya.   



ISU BAHASA KASAR DALAM FILEM MELAYU
    Isu ini umpamanya mampu memberi kesan negatif kepada masyarakat masa kini yang mudah terpedaya dan mengekalkan sikap ingin mecuba. Sebagai contoh perkataan-perkataan yang tidak sopan yang selalu ditayangkan di dalam filem Melayu. Pelbagai program yang disiarkan terutamanya penyiaran budaya luar telah mempengaruhi minda masyarakat kita untuk meninggalkan budi bahasa yang menjadi pegangan masyarakat kita.
      Hal ini dapat dilihat melalui filem Melayu yang bertajuk KONGSI , terdapat bahasa-bahasa kasar yang ditayangkan dalam filem tersebut . Sebagai contoh , bahasa kesat yang digunakan ialah barua , mampus dan lu langsi lu mati . Perkataan-perkataan yang digunakan ialah merupakan kata makian.Perkataan ini biasanya digunakan untuk menunjukkan kemarahan dan untuk menyakitkan hati pendengar.  Sepatutnya ungkapan seperti ini tidak patut digunakan secara sewenang-wenangnya kerana menunjukkan maksud yang sangat tidak baik .                                                   


CARA MENYELESAIKAN MASALAH

PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sangat penting dalam usaha mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak di negara ini. Badan induk ini bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang supaya masyarakat peka dengan penggunaan bahasa. Dalam konteks ini, mereka haruslah memantapkan etika kerja supaya masyarakat lebih tertarik untuk memurnikan bahasa Malaysia. Hal ini dapat dilakukan dengan meningkatkan kualiti buku-buku bahasa, contohnya Kamus Dewan Bahasa mestilah ditambah baik dengan memastikan entri-entri baharu ditambah dari semasa ke semasa supaya masyarakat  lebih cinta akan bahasa yang menjadi lambang bangsa. DBP perlu menjadi sebuah badan yang berpengaruh supaya pencinta bahasa lebih tertarik untuk mengembleng tenaga bagi bersama-sama membendung masalah penggunaan bahasa rojak.

Langkah seterusnya adalah dengan pelaksanaan kempen kesedaran secara berterusan. Rakyat Malaysia perlu menjulang bahasa Malaysia demi jati diri, maruah dan martabat bangsa. Justeru, kempen kesedaran secara besar-besaran perlulah diadakan sepanjang masa bukannya bermusim atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak boleh mengharapkan tindakan daripada pihak DBP sahaja sebaliknya mereka perlu bekerjasama dan berganding bahu seia sekata “ibarat sejunjung bak sireh dan serumpun bak serai”bagi menjayakan setiap inisiatif  yang dirancang oleh pihak DBP dalam usaha membendung masalah penggunaan bahasa rojak. Semua pihak seperti sekolah, komuniti kampung dan bandar perlu memberikan idea yang bernas dalam memastikan prakarsa yang berkesan dalam menangani masalah ini. Bukan itu sahaja, pihak media massa juga memainkan peranan penting dengan mengelakkan penggunaan bahasa rojak supaya kempen yang diadakan akan memberi impak yang maksimum ke arah memartabatkan bahasa Malaysia.




PERANAN IBU BAPA

Pepatah melayu ada menyatakan bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Ini bermakna mendidik anak-anak perlulah dari kecil kerana anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih, ibu bapalah yang berperanan untuk mewarnainya.  Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak.  Bagi menangani fenomema masalah penggunaan bahasa tidak sopan ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing anak-anak dalam membentuk cara berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang sopan dan teratur Ibu bapa perlu bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.  Mereka juga perlu memantau aktiviti dan cara pergaulan anak-anak mereka.  Sekiranya terdapat ciri-ciri negatif dan penggunaan bahasa yang kurang sopan di kalangan anak-anak , ibu bapa perlulah berusaha menegah agar hal itu tidak berterusan.  Teguran dan nasihat hendaklah sentiasa diberikan supaya anak-anak dapat membezakan tentang bahasa yang sopan dengan bahasa yang tidak sopan .  Ibu bapa juga perlu menggunakan bahasa yang baik dan sopan apabila berkomunikasi dengan anak-anak.  Ini menyebabkan anak-anak akan merasa lebih disayangi dan dihargai.

PERANAN MEDIA MASSA

         Media massa merupakan medium yang paling sesuai untuk memainkan peranan dalam menangani fenomena bahasa tidak sopan ini. Hal ini adalah kerana media massa merupakan ejen penyampai yang paling berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh media elektronik khasnya seperti televisyen, radio dan seumpamanya ialah dengan menyiarkan rancangan-rancangan yang menggunakan bahasa-bahasa yang baik dan sopan. Pihak penerbit juga boleh menyediakan rencana-rencana atau slot-slot khas yang memaparkan tentang nilai-nilai kesantunan dalam berbahasa. Selain itu, pihak penerbit juga perlu mengawal dan memastikan rancangan-rancangan yang disiarkan mematuhi syarat-syarat penyiaran yang telah ditetapkan terutama dalam penggunaan bahasa yang sopan dan teratur.


PERANAN KERAJAAN

     Kerajaan merupakan jentera paling penting dalam sesebuah negara.  Dalam menangani fenomena bahasa tidak sopan ini, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini.  Contohnya, mengadakan kempen-kempen untuk meningkatkan kesedaran orangramai tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul.  Pihak Kementerian Penerangan Komunikasi Kesenian dan Kebudayaan telah pun melancarkan “Bulan Bahasa Kebangsaan” pada setiap tahun.
        Pihak kementerian yang berkaitan juga boleh menubuhkan sebuah lembaga penapisan yang bertujuan menapis bahan-bahan untuk tayangan stesen-stesen radio dan televisyen bagi memastikan rancangan-rancangan yang ingin ditayangkan menepati syarat-syarat wajib tayang serta mematuhi nilai-nilai budaya dan kesantunan bahasa Melayu. Contoh yang sedia ada ialah FINAS (Lembaga Penapisan Filem Negara) yang berperanan menapis filem-filem yang ingin ditayangkan di negara ini agar menepati syarat wajib tayang yang telah ditetapkan

PERANAN GURU

       Peranan guru adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari emosi, jasmani, fizikal dan rohani.  Justeru dalam usaha membendung gejala penggunaan bahasa tidak sopan ini, peranan guru khasnya guru bahasa Melayu perlu memberi penekanan dalam aspek kemahiran lisan dalam kemahiran berbahasa.  Penekanan harus diberikan tentang aspek-aspek pertuturan yang bertatasusila, lengkap dan tersusun.  Penerapan nilai-nilai murni juga perlu diberi penekanan yang sewajarnya.  Pembentukan moral dan sahsiah yang baik juga perlu ditekankan melalui pengajaran Pendidikan Agama lslam dan Moral.  Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak  mulia.

KESIMPULAN

        Kita semua berupaya untuk mempertingkat budi pekerti diri dalam kehidupan  bermula dengan kata panggilan dalam keluarga yang bermula dengan suara hati dan pertuturan. Allah s.w.t. Dalam surah an-Nisa’ (ayat 148) berfirman, yang bermaksud
“ Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar dari mulut seseorang melainkan perkataan (pengalaman) yang keluar dari mulut orang yang dizalimi.  Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya “ Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara”. Begitu dengan ajaran agama-agama lain yang turut menekankan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian.
   Sebagai kesimpulannya dengan mengamalkan kesantunan berbahasa ketika berkomunikasi, kita akan digolongkan sebagai ahli masyarakat yang peramah, bertimbang rasa, berfikiran positif, mengamalkan sikap toleransi, bersopan santun, jujur dengan tetamu, bermoral dan baik hati. Ini secara tidak langsung kita akan mengekalkan peribadi yang mulia sekaligus menonjolkan peribadi bangsa yang lemah lembut dan tinggi peradaban.